.

10 December 2008

ADUN Titi Serong lawat orang sakit di Taman Kerian.

PARIT BUNTAR, 7 Disember :- Sehari sebelum tibanya Hari Raya Aidil Adha, ADUn Titi Serong bersama dengan isteri meluangkan masanya untuk melawat orang sakit yang terdapat di Taman Kerian di sini.
Lawatan sepetang itu telah diatur oleh pemuda cawangan berlaku dalam keadaan yang harmoni dan ukuwah Islamiyah . Sebanyak 6 rumah telah dilawati .
Beliau juga menyampaikan sedikit buah tangan berupa kuih raya kepada semua pesakit yang dilawati.



2 December 2008

Lawatan ADUN hari Isnin 1 Disember

TITI SERONG, 1 Dis ;- Mulai bulan ini pejabat ADUN Titi Serong akan mengatur secara rutin lawatan bertemu dengan rakyat secara lebih kerap dan terancang. Setiap lawatan akan cuba diimplimentasikan dalam laporan ringkas berserta dengan gambar.

1. ADUN Titi Serong bersama isteri melawat saudara sepupu yang meninggal dunia di Parit haji Awi .
2. Lawatan diteruskan untuk meninjau tapak rumah kediaman yang dilanda banjir pada setiap kali hujan. Lawatan beliau diiringi oleh penghulu mukim Bagan Tiang dan Ketua Kampung Sg. Megat Aris, Hj. Ahmad Bahtiar Abdullah.

3. Drs. Khalil bergambar dengan Ketua Kampung Tanah Baru, Hj. Mat Daud Saat semasa melawat bengkel membuat boat nelayan yang terletak dalam DUN Titi Serong.

19 November 2008

Ayam Serama.

AYAM serama disifatkan sebagai suka menunjuk-nunjuk. Jika ada kamera dan limpahan cahaya lensa, ayam ini segera mengangkat dada dan meluruskan ekor tegak ke atas hingga 90 darjah serta mengibas kedua-dua kepak.

Perwatakan dan gaya istimewa ayam serama menyebabkan Ahmad Fauzi Mohamed, jatuh cinta kepada ayam terkecil di dunia itu.

Walaupun Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn Bhd, sudah lama mengetahui ayam ini, cintanya terhadap ayam serama baru berputik ketika berada di Kota Bharu, Kelantan, kira-kira lima bulan lalu.

Mengapa ayam serama? Inilah haiwan yang benar-benar berasal dari Malaysia. Haiwan lain seperti harimau dan badak juga ada di negara lain. Orang Utan juga tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan negara ini.

Ayam serama sebenarnya diiktiraf dunia luar sebagai milik Malaysia. Pelbagai pihak di Amerika Syarikat mengiktiraf ayam serama berasal dari negara ini.

Ini yang menyebabkan Ahmad Fauzi yakin ayam serama mampu menjadi ikon kepada Malaysia kerana haiwan ini tidak terdapat di negara lain.

Usaha menjadikan ayam serama sebagai ikon Malaysia, katanya perlu dipertingkatkan kerana sesetengah negara Eropah bangga dengan baka ayam yang hanya ada di negara masing-masing. Malah, Perancis menjadikan ayam sebagai menjadi lambang negara itu.

Minat terhadap ayam serama mendorong Ahmad Fauzi, melakukan penyelidikan dan terkejut apabila mendapati bilangan ayam ini hanya tinggal kira-kira 3,000 ekor dan boleh dianggap menghampiri kepupusan.

Beliau melayari internet untuk mendapatkan maklumat berkaitan ayam serama, tetapi tiada laman web tempatan berkaitan ayam ini dan tidak ada panduan mengenai cara menternaknya.

“Melalui internet, saya mendapati pemeliharaan ayam serama berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat. Malah, ada pertubuhan ayam serama dengan laman web masing-masing, iaitu Serama Council of North America dan World Serama Federation,” katanya.

Perkembangan menggalakkan di dunia luar mendorongnya bertekad mengubah kaedah penternakan ayam serama yang sebelum ini dilakukan secara tradisional.

Bermula dengan empat ekor yang dibawa dari Kelantan lima bulan lalu, ayam serama yang diternaknya di belakang rumahnya di Ampang Jaya, untuk tujuan pameran dan penyelidikan, kini mencecah kira-kira 300 ekor.

Beliau membuat penyelidikan sendiri untuk menternak ayam serama secara moden berbanding amalan tradisional yang tidak produktif.

Memanfaatkan pengalaman sebagai jurutera maritim, Ahmad Fauzi, membuat sendiri reban dua tingkat dan menggunakan kaedah penternakan moden bagi meningkatkan pengeluaran ayam serama berkualiti tinggi.

“Penternakan dilakukan secara sistematik. Ayam diberi campuran dedak mengandungi vitamin. Reka bentuk reban sesuai dengan pembesaran haiwan ini dan melindungi dari angin dan hujan melampau yang menyebabkan penyakit.

“Menternak ayam serama tidak cerewet jika aspek kebersihan dan pemakanan diberi perhatian rapi,” katanya.

Katanya, ayam betina hanya bertelur kira-kira lima biji telur setiap tiga bulan atau kira-kira 20 biji setahun.

“Telur yang dikutip setiap hari dikumpul setempat selama tujuh hari dan kemudian dimasukkan dalam mesin inkubator selama 21 hari. Selepas menetas, anak ayam dimasukkan dalam satu kotak yang dinamakan set induk palsu.

“Kotak itu berfungsi seperti ibu ayam yang memanaskan badan anaknya. Selepas 30 hari, anak ayam dimasukkan ke reban biasa,” katanya.

Dalam operasi harian, pegawai veterinar dibantu pekerja biasa menukar makanan dan air, membersihkan najis, memeriksa inkubator dan ayam. Setiap minggu, ayam dimandikan dan dilatih untuk menyertai pertandingan dan setiap bulan, kuku dipotong dan diberi ubat cacing.

Semua proses ini direkodkan dan jauh berbeza berbanding kaedah tradisional, ayam dilepaskan begitu saja serta mengabaikan aspek kebersihan dan pemakanan.

Selain itu, Serama Corporation menjalankan penyelidikan untuk melakukan permanian beradas bagi menghasilkan ayam serama berkualiti tinggi dan dijangka hasil kajian diketahui pertengahan tahun depan.

Harga ayam serama boleh mencecah RM80,000 seekor

AYAM serama lebih dikenali kerana kecantikan menyebabkan dibela hanya untuk tujuan menyertai pertandingan dan sekadar hobi.

Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn Bhd, Ahmad Fauzi Mohamed, berkata penternakan ayam serama mempunyai potensi besar untuk diterokai kerana permintaan amat besar sedangkan pengeluaran ketika ini masih rendah.

Dari segi harga, katanya ayam serama yang menjuarai pertandingan boleh mencecah hingga RM80,000 seekor dan secara purata harga ayam ini adalah antara RM40,000 hingga RM50,000 seekor.

“Hanya orang kaya mampu memiliki ayam begitu. Ini tidak menghalang peminatnya sejauh Thailand, Indonesia dan Filipina datang untuk membelinya.

“Pengeluaran terhad menyebabkan orang biasa hanya mampu melihat. Tetapi keadaan ini mampu diubah jika pengeluaran kecil-kecilan sekarang digantikan dengan kaedah penternakan komersil,” katanya.

Kekurangan yang ada, katanya diisi Serama Corporation yang kini mempunyai ladang ayam serama di Pengkalan Chepa, Kelantan dan bakal membuka ladang seluas 1.6 hektar di Ulu Yam, Selangor, tahun depan.

Selain pertandingan, Ahmad Fauzi berkata, ayam serama berpotensi dieksport ke luar negara, terutama China yang melihat ayam serama sebagai bahan ubatan tradisional dan daging eksotik.

Katanya, saiz ayam serama selepas dibersihkan sesuai diletakkan dalam pinggan dan tidak perlu dipotong berbanding ayam biasa.

Dari segi harga, katanya penternak tidak perlu bimbang kerana pengeluaran telur yang sedikit menyebabkan ayam serama bersifat eksklusif.

Ahmad Fauzi mengakui bahawa minat orang ramai di negara ini terhadap ayam serama pernah melonjak tinggi pada suatu ketika, tetapi merudum akibat amalan tidak beretika sesetengah peniaga.

“Ada peniaga menjual ayam serama yang sebenarnya ayam katik dan ayam kampung. Ini mengecewakan orang ramai kerana ayam serama mempunyai ciri istimewa yang tidak ada pada ayam lain,” katanya.

Bagi menyemarak minat orang ramai terhadap ayam serama, katanya Serama Corporation membuka ruang pameran di Pasar Seni Kuala Lumpur pada setiap Sabtu dan Ahad, bermula 15 November.

Katanya, anak ayam serama berumur antara 45 hingga 60 hari akan dijual dengan harga antara RM250 hingga RM350 sepasang (dua ekor) berbanding harga sebenar yang mencecah antara RM800 hingga RM1,000.

Bagaimanapun, katanya usaha memajukan penternakan ayam serama sebagai industri memerlukan sokongan kerajaan melalui pelbagai agensi berkaitan penyelidikan, pembiayaan dan promosi dalam negara dan antarabangsa.

Pada masa sama, katanya mereka yang hendak menceburi penternakan ayam serama perlu berminat dan tekun.

FAKTA: AYAM SERAMA

Dipercayai berasal dari Kelantan.
Dipercayai hasil kacukan pelbagai burung eksotik, termasuk burung hutan.
Dikatakan nama serama berasal dari nama Seri Rama dan pada mulanya adalah haiwan peliharaan di istana.
Jangka hayat antara tujuh hingga 15 tahun
Berat ideal adalah 500 gram ke bawah dengan saiz adalah satu pertiga dari ayam biasa.
Ciri istimewa adalah ekor lentik, berdada tegak dan kepak lurus ke bawah
Mempunyai kira-kira 2,000 warna
Menjadi haiwan peliharaan kerana jinak, manja dan mengenali tuannya.
Haiwan ini mempunyai gelagat menarik seperti berjalan mengundur ke belakang.
Masyarakat Melayu percaya haiwan ini mempunyai khasiat perubatan.

PENILAIAN AYAM SERAMA

Jenis - Ciri utama ialah kepala melunjur ke belakang, bahagian belakang pendek, kepak menegak dan ekor panjang, penuh dan apabila berkembang, tidak menyentuh balung. Kedudukan tengah mata sama dengan kedudukan tengah kaki ketika berdiri.

Perwatakan - Kelihatan gagah, berani dan yakin. Lagak suka menonjol seperti berkokok dan suka berdiri.

Ekor - Saiz besar, menegak dan tinggi. Bulu pelepah ekor utama panjang, melentik di penghujung dan berkembang seperti bentuk V. Lawi (ayam jantan) menegak 90 darjah dan sedikit melentik ke belakang di penghujung.

Kepak - Ketika berdiri, kepak ayam dalam posisi menegak tetapi sedikit menghala ke belakang. Hujung kepak bersentuhan sedikit dengan lantai.

Badan - Tegap dan bulat. Dada ayam lebih luas dari bahagian belakang apabila dilihat dari atas. Dari tepi, badan berbentuk V. Belakang ayam pendek dan lebar di bahagian bahu.

Kaki - Tidak begitu rapat dan selari. Panjang sederhana dan seimbang dengan saiz kepak. Paha berotot dan sederhana panjang. Taji di bahagian tengah betis, keras, kecil dan menghala ke belakang kaki.

beritaharian.

30 October 2008

Ziarah kematian dan orang sakit.

TITI SERONG, 29 Okt. :- Jadual ADUN Titi Serong hari ini termasuklah menziarah kematian seorang Warga Tionghua di Kuala Bagan Tiang dan Seterusnya beliau meluangkan masa menziarahi seorang AJK JKKK Sungai Kota yang terkena angin ahmar beberapa hari yang lepas.






Menghulurkan sedikit sumbangan tanda simpati.

9 October 2008

RIBUAN HADIR MAJLIS IDILFITRI PR DI PARIT BUNTAR

PARIT BUNTAR: Pada Ahad 5 Syawal bersamaan dengan 5 oktober yang lepas, rakyat sekitar Parit Buntar berkesempatan berhari raya Aidilfitri bersama-sama barisan pimpinan Pakatan Rakyat mereka pada satu majlis jamuan Hari Terbuka yang dihadiri lebih 8,00o orang pengunjung.

ADUN Pokok Assam, Titi Serong dan Selingsing bersama MP Parit Buntar.


Adun Titi Serong, Drs Idham Lim yang juga bertindak sebagai moderator majlis mengalu-alukan rakyat yang tidak putus-putus tiba. Pelbagai juadah disediakan termasuk Lemang, laksa , tapai roti canai dan cendol. 7 kaunter makanan dan minuman yang disediakan penuh sesak dengan pengunjung.

Pihak penganjur juga telah menyediakan 12 khemah dan kerusi yang sesak dengan hadirin bagi menikmati juadah yang disediakan.

Setiusaha Akhbar kepada YAB. Menteri Besar Perak, En. Anuar Hashim yang hadir sama berpendapat bahawa kehadiran yang sebegitu ramai menunjukkan sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi kepada Ahli Parlimen Parit Buntar , ADUN Titi Serong dan ADUN Kuala Kurau .

3 October 2008

ADUN sampai sumbangan kepada peserta tadarus Quran

PARIT BUNTAR ;- Sempena dengan akhir Ramadhan ADUN Titi Serong, Khalil idham Lim dan isteri telah menghadari beberapa majlis Khatam Al Quran yang dianjurkan antaranya di Surau Taman Pekan Baru.
Isteri ADUN Titi Serong, Pn. Nor Ainah hadir sama.


Drs. Khalil menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Surau.



Pada kesempatan itu beliau telah menyampai sumbangan hadiah untuk disampaikan kepada peserta tadarus berjumlah 40 orang.

Bergambar beramai-ramai dengan peserta tadarus.

28 September 2008

ADUN Titi Serong Tutup Tadarus Al Quran

PARIT BUNTAR , 28 Sept :- Satu Majlis penutupan Tadarus Al Quran di Surau Taman Seri Tenggara disini telah disempurnakan oleh ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim.
Kumpulan Tadarrus Muslimat bergambar dengan ADUN.

Majlis yang diadakan selepas sembahyang sunat Terawikh itu dihadiri sekitar 300 orang warga setempat dimulai dengan persembahan Nasyid.

Drs.Kahalil telah menyampaikan Tazkirahnya mengupas persoalan Ramadhan dan kepentingan memakmurkan rumah Allah, mesjid dan surau.

Kumpulan Muslimin bergambar dengan Drs. Khalil

14 September 2008

MB Perak lawat 138 mangsa banjir di Bukit Merah

BAGAN SERAI, 9 September :-Yang Amat Berhormat dato’ Seri Ir. Haji Muhammad Nizar bin Jamaluddin, meluangkan masa melawat mangsa banjir yang berlaku di kawasan Bukit Merah. Seramai 138 penduduk daripada 33 buah keluarga telah dipindahkan oleh agensi-agensi bantuan seperti JPA 3, Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, RELA dan beberapa agensi lain ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah. Pemindahan ini membabitkan Kampung Batu 38,39,40 dan kampong Ban Pisang.

Hadir sama dalam lawatan Kerja itu ialah ADUN Selingsing, Hussin Din, ADUN Gunung Semanggol, Ramli Tusin dan Pegawai Daerah Kerian, Ismail Hassan.


Menurut jurucakap bilik gerakan, hujan yang berturutan selama dua hari telah menaikkan paras air kolam Bukit Merah ke paras membimbangkan iaitu 29.7meter . Hal ini telah menyebabkan pihak Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Kerian terpaksa membuka empat pintu air utama bagi mengurangkan tekanan untuk mengelakkan terjadinya perkara yang lebih buruk.

YAB Menteri Besar Perak juga sempat menghulurkan sedikit bantuan kewangan sumbangan kerajaan Negeri kepada penduduk-penduduk yang terlibat disamping memberi nasihat dan dorongan kepada murid-murid yang sedang menduduki peperiksaan UPSR di sekolah itu. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepaa agensi-agensi terbabit khususnya Pejabat Daerah Kerian kerana telah menjalankan tugAs dengan baik.

Ziarah kematian orang Cina 3 tempat pada satu malam

PARIT BUNTAR, 13 Sept:- Setelah mengadakan sembahyang Terawih berjemaah dan bertazkirah seperti jadual biasa pada setiap malam, ADUN Titi serong, Khalil Idham Lim telah meluangkan masa untuk melawat kematian orang Cina disekitar bandar Parit Buntar.







6 September 2008

Ketua Menteri, Exco, MP Parlimen DAP berbuka puasa bersama PAS Pulau Pinang

SEBERANG JAYA, 4 Sept :-Hari ini dalam sejarah politik Kepimpinan DAP dan PAS Pulau Pinang dimana suatu majlis berbuka puasa dapat diadakan di Restoran Kassim Mustaffa.


Kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang disambut oleh Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang bersama ahli jawatan kuasa harian PAS negeri.

Ketua menteri, beliau berharap berhubungan PAS, DAP & PKR dapat dieratkan lagi dan mahu segala selisih faham dihentikan demi perpaduan rakyat dan mahu PAS turut serta dalam menjayakan program kerajaan yang akan diaturkan kelak.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Salleh Man berharap perhubungan DAP dan PAS khasnya Pulau Pinang perlu bertemu kekerapan dan segala masalah dapat diatasi dengan segera. Secara langsungnya mengeratkan lagi tali siratulrahim antara PAS, DAP & PKR.

Majlis berbuka puasa dihadiri oleh YB.Chow Kon Yeow, YB.Chong Eng bersama suaminya, YB.Lim Hock Seng, YB.Phee Boon Poh, YB.Leew Chin Tong, YB.Ng Wei Aik serta Chong.

Bagi pihak PAS Negeri Pulau Pinang yang hadir berbuka puasa ialah YB.Hamdan Abdul Rahman, YB.Mujahid Yusuf Rawa, Ust Taquiddin Hamzah, YDP kawasan-kawasan, Dewan Ulama, Pemuda serta ahli jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri serta kawasan-kawasan Pas Pulau Pinang.
sumber :http://www.tranungkite.net/v7/

ADUN Pakatan Rakyat lawat kematian bapa mertua ADUN Titi Serong.

TITI SERONG : Pada 18 July yang lepas telah kembali kerahmatullah bapa mertua ADUN Titi Serong. Pada hari berkenaan telah hadir beberapa ADUN Pakatan Rakyat dari PAS dan PKR menunjukkan tanda simpati dan menyampaikan ucapan takziah. Disamping hadir sama wakil Badan Perhubungan PAS Perak diwakili oleh Timbalan Pesuruhjaya, Ust. Abu Bakar Hussin dan Setiausahanya Hj. Abd. Rahim Arif.

ADUN Cangkat Jong, YB. Hj. Anuar Sudin.

ADUN Selingsing, YB. Hj. Husin Din.

ADUN Gunung Semanggol, YB. Hj. Ramli Tusin dan ADUN Kuala Kurau, YB. Abd. Yunus Jamhari.


Semuga Allah mencucuri Rahmat dan Keampunan kepada Allayarham Hj. Ahmad b.Hj. Yusuf dan ditewmpat oleh Nya bersama roh orang yang beriman....Al Faatihah....

24 August 2008

Cikgu Khalid dalam kenangan.

PARIT BUNTAR , 22 Ogos : PAS Kawasan Parit Buntar kehilangan seorang tokoh pejuang Islam yang gigih di Perak khususnya di Parit Buntar. Beliau ialah Tuan Haji Khalid bin Abdul Hamid, 75 atau lebih dikenali dengan panggilan ' Cikgu Khalid" atau 'Pak Su Khalid'.

Pak Su Khalid meninggal dunia pada jam 12 malam semalam kerana sakit uzur. Solat jenazah akan diadakan pada jam 11 pagi sebelum solat Jumaat di Kampung Kedah.

Cikgu Khalid meninggalkan seorang balu dan 2 orang anak. Salah seorang anak beliau Fakhrurrazi bin Haji Khalid merupakan AJK PAS Kawasan Parit Buntar.

Cikgu Khalid pernah memegang jawatan Bendahari PAS Perak dan pernah menjadi calon PAS bagi kerusi DUN Titi Serong sebanyak dua kali iaitu pilihanraya tahun 1990 dan 1994. Antara sumbangan besar beliau kepada PAS Parit Buntar adalah pembelian bangunan PAS Parit Buntar di No. 8, Jalan Keli ,Taman Seri Tenggara. Beliaulah antara yang gigih turun ke Cawangan memungut derma dari ahli-ahli PAS Cawangan sehingga berjaya membeli bangunan PAS berkenaan.

Beliau juga mengizinkan PAS menggunakan belakang rumahnya sebagai kawasan mengadakan aktiviti terutamanya ceramah umum. Kawasan ini dinamakan sebagai Dataran Purnama Kg. Kedah.

Cikgu Khalid pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Veteran PAS Parit Buntar sempena Mesyurat Agung Kawasan tahun 2007.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh pejuang Islam ini. AL-FATIHAH...

11 August 2008

Kubu UMNO ditembusi :PAS Cawangan Kuala Bagan Tiang ditubuhkan

TITI SERONG, 10 Ogos :- Pas Kawasan Parit Buntar mengucapkan tahniah kepada penduduk Kuala Bgan Tiang kerana berani membuat perubahan sehingga tertubuhnya sebuah cawangan PAS walaupun sebelum ini saya pun takut untuk hadir disini, demikian antara ucapan Timbalan YDP PAS Kawasan Parit Buntar yang juga ADUN Titit Serong, YB. Drs. Khalil Idham Lim dalam majlis peresmian Cawangan PAS Kuala Bagan Tiang disini malam tadi .

Peresmian cawangan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, YB. Dr. Mujahid Yusuf. Turut hadir ialah ADUN KLuala Kurau, YB. Ab. Yusnus Jamhari dan Yang Dipertua PAS Kawasan, Tn. Hj. Harun Hashim.

Seramai seratus orang lebih hadir dalam majlis yang diadakan diperkarangan rumah Pengerusi Tetap yang dilantik , Tn. Hj. Bakhtiar yang juga merupakan Ketua Kampung Kuala Bagan Tiang yang baru dipilih.

Drs. Khalil juga memberi penjelasan tentang tohmahan BN yang kononnya akan memerintah Perak sesudah 31 ogos ini. Alasan yang terakhir yang diharapkan UMNO ialah petisyenya di 3 DUN yang telah ditolak oleh mahkamah.

Dengan itu jelasnya , "BN tunggulah pilihanraya ke 13 untuk bertanding secara sah dan melupakan angan-angannya kosong sebelum ini ".

6 August 2008

ADUN Titi Serong gotong royong bersih kubur bersama rakyat

TITI SERONG , 3 Ogos :- Satu program gotong royong penduduk Kuala Bagan Tiang membersih kubur lama telah dilakukan disini hari ini turut dihadiri oleh ADUN Titi Serong, YB. Drs. Khalil Idham Lim.
ADUN Titi Serong bergambar bersama peserta gotong-royong


Sejumlah 50 orang penduduk telah hadir untuk membersih tanah perkuburan yang difahamkan telah tidak digunakan sejak lebih 20 tahun yang lepas. Hadir sama pada program ini ialah Penghulu Mukim Bagan Tiang, En. Shahrul Nizam dan Ketua kampung Bagan Tiang, Hj. Bakhtiar.

Jentolak digunakan untuk meratakan tanah.

30 July 2008

Nizar : Pas negeri akan kekal dalam pakatan pembangkang dan sama sekali tidak akan bekerjasama dengan UMNO.

IPOH, 28 Julai :- Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin memberi jaminan Pas negeri akan kekal dalam pakatan pembangkang dan sama sekali tidak akan bekerjasama dengan UMNO.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri itu berkata, pihaknya sentiasa memberikan komitmen untuk terus bersama-sama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menerajui kerajaan pembangkang di negeri ini.

''Tidak mungkin Pas negeri bekerjasama dengan UMNO negeri ini kerana rakyat telah memilih kita dan kami akan bersama-sama untuk berkhidmat kepada penduduk selama-lamanya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Air Perak di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tawaran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali kepada Pas untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Mohammad Nizar menjelaskan, beliau tidak dimaklumkan mengenai tawaran tersebut dan hanya mengetahuinya selepas diberitahu oleh pemberita.

''Dia (Tajol Rosli) boleh sudi macam-macam tetapi kita tidak setuju dan sama sekali tidak akan menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

''Kami tidak akan melayan mana-mana tawaran daripada parti politik di luar pakatan dan kami akan kekal dalam pakatan ini," katanya.

Ketika ditanya, apakah Pas akan bekerjasama dengan UMNO di Perak jika diminta berbuat oleh pimpinan peringkat Pas pusat, beliau berkata:''Pas adalah sebahagian daripada pakatan pembangkang dan perlu mendapat persetujuan daripada pakatan untuk menimbang sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO."

Beliau turut ditanya kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh yang mahu pakatan pembangkang menimbang secara serius keanggotaan Pas dalam pakatan.

''DAP tidak seharusnya meragui Pas kerana parti kita belum mengadakan sebarang muzakarah dengan UMNO. Muzakarah yang diperkatakan itu hanya pertemuan biasa atau muqabalah,'' katanya.

29 July 2008

MB Perak Resmi Kelab Penyokong PAS Bagan Serai.

BAGAN SERAI, 26 July :- Saudara cukup berani membuat perubahan sedangkan MCA dan MIC mengatakan kalau tukar kerajaan akan jadi huru-hara, akan ada pergaduhan, dan kita akan makan ubi. Demikian antara ucapan YAB. Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin semasa meresmikan kelab penyokong Pas kaum Tionghua disini hari ini.

Majlis itu menarik lebih 3000 orang yang terdiri dari berbagai bangsa. Hadir sama ialah Ahli Parlimen Bagan Serai, Adun Selingsing, Gunung Semanggol, Titit Serong dan Kuala Kurau.

Ir. Nizar mengatakan dengan keberanian membuat perubahan akhirnya DAP, PKR dan PAS mewujudkan Kerajaan Campuran yang dinamakan pakatan Rakyat dan diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan Perak.

Beliau juga menjelaskan sudah 50 tahun lebih mereka mengajak rakyat Malaysia bergerak mengikut bangsa masing-masing dan usaha ini gagal.Kerana itu kita bergerak atas nama bangsa apalagi golongan yang sebegini dianggap "laisaminni" oleh Rasulullah.

22 July 2008

ADUN melawat mangsa ribut.

TITI SERONG,20 July :-Satu kejadian ribut telah menyebabkan sebuah rumah mengalami kerosakan teruk di Kuala Bagan Tiang disini malam tadi.

Dalam rangka lawatan kepada mangsa kejadian ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim yang diiringi oleh Penghulu Mukin Bagan, En. Shahrul Nizam bin Raali dan Ketua Kampung Bagan Tiang, Tn. Hj. Bahtiar , beliau telah meninjau kerosakan dan jumlah kerosakan yang dialami.

Saya perihatin.

TITI SERONG, 21 July :- Dalam perjalanan balik dari menziarahi mangsa ribut di Kuala Bagan Tiang, ADUN Titi Serong, Drs. Khalil idham Lim mengarahkan pemandunya untuk berhenti dan mengambil gambar yang dikira agak menarik ini.



ADUN Titi serong menunjukkan kabel TM yang dicuri.


Beginilah kejadian yang berlaku bukan hanya di Titi Serong, namun masalah ini berlaku diseluruh negara. Dalam tulisan yang lepas beliau mendedahkan sejumlah RM 11 Juta wayar kabel TM telah dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab bagi tempoh 3 bulan pertama 2008.

19 July 2008

Setelah 100 hari berlalu.

Waktu yang ditunggu oleh orang yang menunggunya telah pun berlalu hampir seminggu lebih, itu lah suatu realiti kepada Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat, Persoalan ini terlintas untuk saya berikan sedikit ulasan dalam perjalanan balik dari Ipoh.
Membetulkan kerosakan yang telah berlaku sejak 50 tahun yang lepas bukan perkara mudah , apa lagi sangat tidak adil sekiranya kami dipaksa membetulkannya dalam tempoh sesingkat itu.

Jam hampir 12.00 malam, alhamdulillah hari ini saya selesai mengikuti dua agenda penting di Ipoh. sebelah pagi hingga sebelum Jumaat majlis serah watikah dan angka sumpah ahli-ahli Bandaraya Ipoh, Perbandaran dan majlis daerah. sebelah petang hingga baru selesai tadi mesyuarat badan Perhubungan PAS.


Lebih canggih dari biasa, ulasan ini dengan menggunakn broadband celcom yang didaftar siang tadi, harganya sekitar 800 namun faedahnya berbaloi untuk blog ini. Kelajuannya 3.5 G, signal cuma terputus masa masuk trowong tadi. Tidak tidurlah saya seperti biasanya. Itulah hajat saya beli pakej ini untuk memastikan blog cina islam sentiasa di update dimana saja selagi ada masa dan signal celcom berkelip.
Sebetulnya program hari ini adalah sebahagian bukti betapa Kerajaan yang disebut oleh banyak pihak sebagai "goverment for all" adalah jawapan kepada tohmahan dan tuduhan tidak berasas ianya semakin lemah , apa lagi bercelaru. Kami semakin kuat dengan izin Allah jua, langkah diatur demi mempertahan negeri Pakatan Rakyat ini.
Pemuda negeri lain yang hadir bermesyuarat persiapan muktamar, antaranya memberi komen mudah dengan kalimat kurang menyenangkan semasa kami sidang DUN yang lepas.

Mudah saya menjawab, apa pun bercakap lebih mudah dari berbuat. Lidah memang tidak bertulang, kalau ada tulangpun memanglah itu sifatnya mungkin.

Realiti ini lah yang kami lalui 100 hari yang lepas, realiti kepada saya sebagai ADUN dan Pengerusi BBC adalah suatu amanah berat yang dilaksanakan semampu mungkin dengan tenaga dan fikiran yang ada, alhamdulillah dengan izin Allah, pematauan PAS Kawasan, Negeri , teman seperjuangan semuanya menghasilkan 100 hari untuk semuanya menilai.

Segala kelemahan akan cuba diperbaiki dengan fikran yang terbuka dan matang. Mudah-mudahan hari-hari yang mendatang adalah peluang yang masih ada untuk semuanya bergembeling tenaga .

Mursyidul Am PAS tegur media.

KOTA BHARU, 18 July :- Mursyidul Am Pas, tuan Guru Datuk Nik AbdulAziz Nik Mat menegur pengamal media yang memberi liputan keterlaluan dalam kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mengaibkannya walaupun belum lagi terbukti bersalah.

Mursyidul Am PAS itu kecewa dengan keghairahan media yang melaporkan berita penahanan Anwar di muka depan beserta gambar tetapi pembebasan Anwar dengan jaminan polis dilaporkan secara ringkas sahaja.

“Saya nak tanya kenapa nak malukan dia sampai letak muka depan (media)...kena ingat Allah akan tutup aib kita di akhirat kalau kita tutup aib orang lain dan Allah juga akan dedah aib kita kelak kalau kita dedah aib orang di dunia,” katanya semasa menyampaikan kuliah di Dataran Ilmu di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengamal media bahawa setiap perbuatan itu akan dihitung di akhirat kelak

19 June 2008

Adun Titi Serong Prihatin Masalah SRJK (C) Sin Hwa

PARIT BUNTAR, 18 Jun (Hrkh)- Adun Yiti Serong, Drs. Khalil Idham Lim Abdullah cukup prihatin dengan masalah pengundi di kawasannya, malah apa juga masalah yang dihadapi mereka, beliau merasa terpanggil untuk menyelesaikannya.

Sehubungan itu beliau cukup mengambil berat masalah keselamatan pelajar yang melintasi jalan yang terletak di hadapan sekolah Rendah Jenis Kebangsaan SRJK(C) Sin Hwa dan hal tersebut telah mendorongnya mengadakan lawatan ke sekolah tersebut untuk melihat sendiri keadaan sebenar yang berlaku di situ baru-baru ini.

Kedatangan beliau disambut oleh Guru Besar, Ahli Lembaga Pengelola dan PIBG sekolah.

Dalam lawatan hampir satu jam tersebut pihak sekolah telah memberikan taklimat mengenai kedudukan tempat letak kenderaan yang akan terlibat dengan projek jenjantas.

Pihak pengurusan sekolah amat berharap Adun Titi Serong itu mengambil perhatian dengan beberapa cadangan supaya ada tempat baru untuk tempat letak kereta.

D isamping itu beliau juga diberikan taklimat mengenai keselamatan pelajar yang melintasi Jalan Kedah di hadapan sekolah.

Pihak sekolah mendakwa lori yang mengangkut tanah merah seawalnya jam 6.00 pagi sehingga 6.30 petang kerap menggunakan jalan tersebut.

Paling mendukacitakan mereka, pemandu lori tidak mematuhi lampu jalan yang diletakkan di hadapan jalan sebagai tempat melintas pelajar.

"Keadaan ini sangat membahayakan pelajar," jelas guru besar dengan nada serius.

Demi keselamatan pelajar guru terpaksa turun ke lapangan untuk menjadi pengawal lalu lintas, kata pengerusi PIBG.

Menurut Idham, beliau mengambil berat masalah tersebut dan berjanji akan menyelesaikannya secepat mungkin .

Beliau akan mengemukakan surat kepada pihak yang berkenaan sebagai langkah awal mengatasi permasalahan tersebut.

Pada kesempatan yang sama ada beberapa orang ibu bapa mengadu kepada beliau mengenai harga minyak yang naik dan membebankan mereka. - mns _

10 June 2008

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub akan muncul di kaca televisyen menerusi rancangan "Bicarawara" TV1 bagi mendebatkan isu kenaikan harga minyak malam ini

Salahuddin akan berbalas hujah dengan Menteri Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahril Samad berhubung rasional kerajaan menstrukturkan semula harga bahan api sehingga mengakibatkan kenaikan mendadak harga runcit petrol dan diesel 5 Jun lalu.

Rancangan "Bicarawara" itu akan disiarkan secara langsung oleh TV1 mulai jam 9.30 malam.

ADUN Titi Serong berpindah ke pejabat baru.

PARIT BUNTAR, 9 Jun :- Pejabat Khidmat ADUN Titi Serong telah pun berpindah ke tempat baru yang terletak di Taman Wawasan Parit Buntar bermula hari ini.





ALAMAT :


Pusat Khidmat ADUN Titi Serong,
No. 41 Jalan Wawasan 3,Taman Wawasan Jaya ,
34200 Parit Buntar, Perak. MALAYSIA.

No Tel : 05-7165340
No Fax : 05-7165382

WAKTU PEJABAT :
Siang :
Isnin - Jumaat : 8.00 Pagi s/d 4.30 Petang
Sabtu : 8.00 Pagi s/d 12.00 Tengahhari
Waktu Rehat : 1.00 s/d 2.00 petang
Malam:
Isnin - Jumaat : 10.00 Mlm s/d 11.30 Mlm

KAKITANGAN PEJABAT :

1. Norhidayah Mohd. Sobri - Pegawai Khas
2. Shamsul Bahari Md Isa - Pembantu khas 1
3. Ahmad Tajuddin Hawari - Pembantu Khas 2

7 June 2008

Kolej Islam Negeri Perak mula beroperasi

KUALA KANGSAR, 6 Jun (Hrkh) :-Negeri Perak kini mempunyai bangunan kolej Islamnya sendiri yang dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ridzuan, bertempat di Bukit Chandan berhampiran Istana Iskandariah dekat sini.

Sebelum ini Kolej Islam Negeri Perak yang baru beberapa tahun diwujudkan itu beroperasi di sebuah bangunan sementara di Ipoh.

Bermula 1 Jun lalu kolej tersebut yang siap dibina di tapak sebuah bukit itu telah memulakan sesi pengambilan pelajar barunya bagi tahun 2008/2009 yang terdiri penuntut lelaki dan perempuan dari negeri Perak dan negeri-negeri lain di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Pada peringkat awal pembukaannya, seramai 500 orang pelajar yang telah lulus temuduga layak berlajar di sini selama tiga tahun bagi mendapatkan diploma.

Tetapi bagi pelajar yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Arab terpaksa menduduki matrikulasi selama setahun sebelum meneruskan pelajaran mereka selama tiga tahun itu bagi menduduki peperiksaan sijil diploma.

Menurut maklumat, kolej berkenaan yang dijangka akan dirasmikan pembukaannya Julai depan mempunyai pensyarah-pensyarah terdiri daripada lepasan ijazah luar negara termasuk daripada beberapa fakulti universiti antarabangsa seperti Azhar dan Jordon.

Kolej tersebut yang terulung seumpamanya itu di negeri Perak dibina bersebelahan sebuah masjid bagi memudahkan penuntut berjemaah bersama penduduk sekitarnya.

5 June 2008

Kenyataan akhbar.

"Cina Islam membantah sekeras-kerasnya keputusan Kerajaan malaysia menaikan harga minyak pada kadar yang tersangat tinggi dan akan membawa implikasi kepada ekonomi negara khususnya akan menyebabkan berlakunya peningkatan inflasi secara mendadak.

Sedangkan rakyat sudah sangat tertekan dengan kenaikan barangan khususnya kenaikan harga beras yang melebihi 100 %.

Kenaikan harga pelagai barangan keperluan harian ternyata tidak dapat dikawal oleh pihak kerajaan. Manaikkan harga minyak berarti memberi suatu peluang lagi kepada kenaikan harga barang.

dengan ini cina islam menyeru seluruh rakyat malaysia untuk memberikan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat demi untuk mengembalikan Malaysia kelandasan yang betul."

Parit Buntar, 5 Jun 2008, jam 8.00 pagi.

4 June 2008

Mineral berkualiti tinggi dijumpai di Perak

Perak bakal menarik pelaburan besar selepas beberapa syarikat dari Eropah dan Amerika Syarikat berminat untuk menjalankan aktiviti perlombongan mineral bermutu tinggi yang ditemui di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin bagaimanapun enggan menyatakan jenis mineral tersebut dan nilai pelaburan yang bakal diterima daripada syarikat-syarikat asing itu.Katanya, mineral berkualiti tinggi itu juga bukan bijih timah.

''Sebuah daripada syarikat berkenaan sudah memulakan kajian dan mengesahkan aktiviti perlombongan mineral itu boleh bertahan sekurang-kurangnya untuk tempoh 30 tahun," katanya kepada pemberita.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Persidangan Geosains Kebangsaan yang turut dihadiri Presiden Persatuan Geologi Malaysia, Yunus Abdul Razak di sini hari ini.

Kira-kira 150 ahli geosains dari seluruh negara mengambil bahagian dalam persidangan itu yang diadakan selama tiga hari.

Menurut Mohammad Nizar, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan untuk meluluskan pelaburan syarikat-syarikat asing itu bagi mencari gali mineral berkualiti tinggi di Perak.

''Pelaburan syarikat-syarikat berkenaan dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 500 peluang pekerjaan baru kepada rakyat Perak," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sejak kenaikan harga bijih timah di pasaran antarabangsa akhir-akhir ini, kerajaan negeri menerima banyak permohonan daripada bekas pelombong bijih timah untuk menjalankan semula aktiviti tersebut.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan lesen melombong yang baru tetapi hanya akan membenarkan syarikat perlombongan yang sudah mempunyai lesen menjalankan aktiviti itu.

''Kita mahu pastikan aktiviti perlombongan dijalankan menggunakan teknologi terkini dan mematuhi peraturan Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Geosains dan Mineral.

''Kita tidak mahu kerja-kerja perlombongan boleh menyebabkan berlaku tanah runtuh dan menjejaskan alam sekitar," katanya.

Siapa yang akan kena ?

Kelantangan Muhyiddin Yassin dan Rais Yatim ternyata tidak disenangi oleh banyak pihak sehingga ada yang mencadangkan mereka perlu dirujuk kepada Lembaga Disiplin kerana sering mempertikaikan keputusan parti dan meluahkannya menerusi akhbar.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, perkara terbaru yang dibangkitkan kedua-dua pemimpin itu ialah mengenai kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor ke dalam UMNO baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan Muhyiddin dan Rais itu menampakkan kelemahan parti di mata rakyat selain memberi ruang kepada parti pembangkang untuk mengambil kesempatan terhadap pergolakan dalaman UMNO.

''Baru-baru ini, seorang menteri dan dua ahli Parlimen UMNO dikatakan boleh dihadapkan kepada Lembaga Disiplin parti kerana bertelingkah di dada akhbar kerana menyalahi pekeliling yang melarang masalah dalaman parti dibangkitkan di luar UMNO.''Kenapa dua pemimpin ini tidak boleh diambil tindakan seperti mereka bertiga," katanya.

Nampaknya masalah dalam batang tubuh UMNO sekarang sangat menguji intergriti dan kemampuan Lembaga Displin UMNO untuk mengatasi pelbnagai kemelut itu.

Sedangkan telah saya ulangi banyak kali dan saya mengulangi sekali lagi disini bahwa Lembaga Displin yang ada sekarang adalah yang paling lemah dalam sejarah UMNO.

Rais Curiga alasan Ezam

Rais Yatim membangkitkan rasa hairannya dengan sikap terlalu mudah UMNO menerima kemasukan Mohamad Ezam Mohd. Noor berbanding penerimaan bekas ahli Parti Melayu Semangat 46 (S46) sebelum ini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden S46 berkata, kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menimbulkan rasa curiga kerana ia berlaku secara tiba-tiba tanpa dirundingkan terlebih dahulu dengan Jawatankuasa Pengurusan parti.

''Saya dapat tahu Jawatankuasa Pengurusan parti yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak serta dibantu oleh Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dibawa berunding terlebih dahulu, malah tidak dirujuk pun kepada Majlis Tertinggi (MT).


''Secara tiba-tiba sahaja satu pihak lagi begitu kuat mahu bawa masuk Mohamad Ezam. ''Ia sungguh berbeza dengan ahli-ahli S46 dulu kerana proses kemasukan ahli (ke UMNO) sahaja memakan masa sembilan bulan dan macam-macam aspek diteliti tetapi sekarang orang yang tempelak UMNO boleh diterima 'pada minggu depan'," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Rais bagaimanapun yakin ahli-ahli MT yang akan bersidang selama dua hari di Shah Alam minggu ini akan membincangkan secara serius keputusan sama ada untuk menerima atau sebaliknya permohonan Mohamad Ezam dan beberapa bekas pemimpin muda PKR ke dalam UMNO.


Menurut Rais, beliau sebenarnya berasa curiga dengan sebab-sebab yang dikemukakan oleh Mohamad Ezam untuk menyertai semula UMNO.

3 June 2008

Rakyat Perak mahu tahu ke mana RM8 juta itu - Nizar

IPOH,2 Jun (Hrkh) - Kerajaan Negeri Perak tidak berhasrat mencari kesalahan apabila membangkitkan isu peruntukan RM8 juta yang dibelanjakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan bekas exco Barisan Nasional (BN) dalam tempoh dua bulan sebelum pilihan raya umum Mac lalu, kata Menteri Besar Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata perkara yang menjadi persoalan sekarang ialah mengenai perincian projek-projek kecil dan kosnya untuk mendapat justifikasi perbelanjaan berkenaan. Katanya kerajaan negeri bukannya ingin menyalahkan kepemimpinan sebelum ini atau menghadapkan mereka ke mahkamah, tetapi hanya ingin tahu perincian dalam perbelanjaan itu.

"Dalam dua bulan setengah, apa jenis perbelanjaan mereka, jelaskan. Kita bukan nak kata mereka salah. Cuma senaraikan perbelanjaan dan masyarakat akan lihat perbelanjaan RM8 juta dalam dua setengah bulan, kita bukan nak dakwa," katanya dipetik Bernama selepas merasmikan Persidangan Geosains Kebangsaan di sini hari ini.

"Rakyat Perak berhak tahu kerana wang RM8 juta itu duit rakyat. Apa yang mereka belanja, Untuk apa? Kalau buat jambatan kecil, menurap jalan atau membaiki bangunan, kita tak persoal. Itu hak rakyat. Memang sewajarnya dibelanjakan," tambahnya.

Beliau berkata jika Adun dan exco BN menjelaskan perbelanjaan berkenaan, maka rakyat sendiri boleh menilai sama ada nilai projek berkenaan setimpal dengan jumlah yang diperuntukkan.

Menteri Besar juga berkata walaupun dana RM8 juta itu habis dibelanjakan oleh Adun dan bekas exco terdahulu, kerajaan negeri masih mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi melaksanakan projek pembangunan di Perak.

Jumaat lalu, Kerajaan negeri Perak meminta kerajaan BN yang memerintah negeri sebelum ini supaya menjelaskan kepada rakyat mengenai dana pembangunan RM8 juta yang dibelanjakan dalam masa dua bulan sebelum pilihan raya umum.

Exco Kanan Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air serta Hal-ehwal Bukan Islam, Dato' Ngeh Koo Ham, berkata kerajaan negeri sangat terkejut dengan cara peruntukan RM75,000 untuk setiap Adun dan tambahan RM100,000 untuk exco itu dihabiskan kerana dana berkenaan bagi projek kecil.

Ekoran kenyataan itu, bekas anggota Exco kerajaan negeri sebelum ini, Dato' Ramly Zahari berkata, peruntukan RM8 juta yang dibelanjakan itu adalah dana kerajaan Persekutuan yang diluluskan pada Oktober 2007 dan ia dibelanjakan dengan sah kerana peruntukan kerajaan pusat dibenarkan dibawa ke tahun berikutnya untuk dimanfaatkan bagi menyiapkan projek-projek kecil.

Pelabur Eropah dan AS mahu melombong di Perak

IPOH,2 Jun (Hrkh) - Beberapa syarikat Eropah dan Amerika Syarikat berminat memulakan aktiviti perlombongan mineral bermutu tinggi yang ditemui di Perak, kata Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jenis mineral bernilai tinggi yang ditemui itu dan nilai pelaburan yang bakal dibuat oleh syarikat terbabit.


Bernama melaporkan, mineral berkenaan bukan bijih timah dan sebuah daripada syarikat berkenaan sudah memulakan kajian dan mengesahkan aktiviti perlombongan berkenaan boleh bertahan sekurang-kurangnya 30 tahun.

"Pelaburan syarikat terbabit dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 500 peluang pekerjaan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Geosains Kebangsaan di sini hari ini. Hadir sama Presiden Persatuan Geologi Malaysia, Yunus Abdul Razak.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri kini mempertimbangkan untuk meluluskan pelaburan syarikat dari luar negeri itu untuk mencari gali mineral bermutu tinggi di Perak di samping mengaktifkan semula industri perlombongan bijih timah.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerima banyak permintaan daripada bekas pengusaha lombong bijih timah untuk menjalankan aktiviti berkenaan ekoran kenaikan harga bijih di pasaran antarabangsa yang menjadikan industri perlombongan bahan itu berdaya maju semula.

Kerajaan negeri bagaimanapun hanya akan membenarkan syarikat perlombongan yang sudah mempunyai lesen melombong memulakan aktiviti perlombongan dan tidak akan memberi lesen baru.

Katanya, kerajaan negeri mahu memastikan aktiviti perlombongan dijalankan menggunakan teknologi terkini dan mematuhi peraturan Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Geosains dan Mineral.

"Kita mahu kerja perlombongan tidak menjejaskan alam sekitar, orang ramai dan lebuh raya. Kerajaan negeri tidak mahu jika ada perlombongan, berlaku tanah runtuh, pencemaran alam dan sebagainya,"katanya.

PROGRAM ADUN UNTUK DISEMBER 2010 DI DUN TITI SERONG

under development -

PROGRAM ZIARAH DAN IMARAH MASJID DAN SURAU Selasa 5.45 pagi Subuh / Tazkirah Masjid Pt.Mat Alam 9.00 pagi Ipoh 7.10 mlm Maghrib / Tazkirah Surau Jalan Terusan 8.15 mlm Isyak / Tazkirah Surau Haji.Shamsuddin P.T.N Dalam

Blog Archive

About Me

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger